Perutusan

Salam Sejahtera, dan Salam Sabah Maju Jaya.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri selaku Urus Setia CIO AKNS yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan dan seterusnya menjadikan laman sesawang ini lebih baik, informatif dan interaktif serta bermanfaat kepada semua CIO AKNS, sejajar dengan perkembangan semasa yang amat menekankan penggunaan ICT dalam pelbagai urusan kerja dan peribadi.

Wujudnya kumpulan CIO AKNS yang telah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelaras semua aktiviti ICT sektor awam negeri. Setiap CIO merupakan penggerak utama di agensi masing-masing dalam merancang dan melaksana program-program berasaskan ICT untuk memudah, mempercepat, malah mentransformasi urusan di antara agensi kerajaan dan juga masyarakat.

Oleh itu, untuk menyelaras perancangan dan aktiviti secara menyeluruh, kumpulan CIO AKNS dilantik sebagai ejen yang membantu CIO Sektor Awam untuk lebih inovatif, kreatif, dan informatif. Aspek pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi antara inisiatif yang diberi tumpuan utama bagi meningkatkan kecekapan dalam norma baharu dan di samping itu, ke arah melaksanakan perubahan kepada transaksi tradisional.

Selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya dalam transformasi penyampaian perkhidmatan melalui konsep kerajaan pintar berlandaskan kepada 5A iaitu Accessible by Anyone at Any time, Any Where by Any Mobile Device, para CIO AKNS komited dalam membantu menjayakan transformasi tersebut yang telah dirancang untuk dilaksanakan bermula 2020 sehingga 2024. Para CIO juga sentiasa terbuka kepada komen dan teguran positif dan cadangan penambahbaikan yang berterusan daripada para pelanggannya.

Akhir kata, saya berharap laman sesawang ini akan menjadi sumber rujukan dan tempat perkongsian ilmu untuk sesiapa sahaja yang melayarinya. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang sentiasa bekerja keras menjalankan tugas saban hari demi meningkat keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, sekaligus memenuhi keperluan dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

Sekian dan terima kasih.

DATUK IR RICHARD JOMIJI KINSIL
CIO Negeri Sabah